Pages

Tuesday, March 23, 2010

sambungan Bayu Dingin Mediteranean

Matanya yang agak terperosok ke dalam meneliti mashaf al-Quran yang lusuh. Menghayati maknanya barangkali. Bapanya seorang ulama. Seorang tokoh mujahid yang kehilangan tanah air dan telah dilupakan.

Ziyad terus memandang bapanya yang lumpuh. Menanti-nanti kalimat yang bakal terluah. Dia tahu; bila bapanya berkeadaan begitu, ada sesuatu yang ingin diberitahu. Mungkin tentang mimpinya yang semakin gharib kebelakangan ini. Bapanya pernah bermimipi Perang Teluk akan terjadi. Dan mimpi bapanya terbukti benar.

Syeikh Mahfodz mulai membaca ayat-ayat suci al-Quran. Matanya
terpejam. Dia hafiz. Ziyad hanya mendengar. Surah al-Isra', ayat satu hingga lapan. Dibaca secara tartil. Sayu.

“Quds adalah kiblat asal kita sebelum diubah ke Kaabah.” Dia menutup mashaf. “Masjidil Aqsa sudah sebati dengan jiwa aku. Aku membesar di situ. Belajar di situ. Madrasah tarbiah yang telah membentuk sakhsiahku.”

Ziyad mengangguk. Dia tahu asal-usul meraka. Sejarah bapanya menentang penjajahan Yahudi. Bapanya berasal dari Rafat di Tebing Barat. Tetapi dibesarkan di pinggir Masjidil Aqsa. Sejak berhijrah ke Jordan, bapanya tidak pulang-pulang ke Palestin. Kesemua ahli keluarganya terbunuh dalam perang, kecuali dia dan adik lelakinya yang masih menetap di sana.
“Mengapa bapa? Ada yang tak kena?” Ziyad terus menyoal. Dia sedar bapanya mahu mengungkapkan sesuatu.



Syeikh Mahfodz menatap wajah anaknya dalam-dalam. Kemudian mengangkat tangannya. Ziyad merapati bapanya. Lantas memeluk lelaki itu.

“Aku mahu kau juga jadi seorang pejuang.”

Air mata bapanya membasahi bahu. Air mata seorang bekas pejuang yang tua dan lumpuh. Dia mengerti bapanya amat kesal kerana menjadi pelarian ke Jordan, sementara adiknya masih lagi berjihad. Keadaan waktu itu yang mendesak, yang memaksanya lari ke Jordan. Mereka tiada senjata untuk melawan. Sekadar membiarkan leher disembelih Yahudi tanpa sebarang ikhtiar, bukan caranya.Sebab itulah yang membawa bapanya ke sini. Biarpun telah beberapa dekad ia berlalu, namun semangat jihad itu masih seperti dulu.

No comments:

Post a Comment